Wednesday, September 9, 2009

~MemBuRu LaiLaTul QaDar~

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Alhamdulillah…kepadaMu jua kurafa’kan kesyukuran atas segala nikmat yang Kau kurniakan. Selawat dan salam buat junjungan yang mulia baginda Rasulullah SAW, para sahabat, ahli keluarga baginda dan para tabi’in.

Menjelangnya 10 malam yang terakhir dibulan Ramadhan ini, Surau Al-Ghazali IPGM Kampus Tuanku Bainun telah menganjurkan sebuah ceramah yang bertajuk MEMBURU LAILATUL QADAR. Ceramah ini telah berlangsung pada pukul 6 petang tadi.Alhamdulillah, penyampaian Al-fadhil ustaz Fauzi amat terkesan di hati sehingga menyusuk ke sanubari.

Lailatul Qadar ni susah nak dapat dak?
Lailatul Qadar ni berharga dak?

Itulah antara soalan yang diajukan oleh ustaz kepada kami semua yang mendengar. Kami semua pun pakat-pakat jawab dengan sebulat suara: “YAAA” panjang beberapa harkat sambil mengangguk-angguk kan kepala.

Nah, bila susah nak dapat mahal dak?

Kami pun sekali lagi menjawab YAA sambil mengangguk kan kepala.

Emas mahai dak? Sebab apa emas mahai?

Kami pun duk bising kat belakang, masing-masing pakat jawab sebab susah nak dapat.

Masya Allah… mampukah kita memburu Lailatul Qadar?

Duhai sahabat...sebelum kita memburu, mengejar dan mencari Lailatul Qadar ini seharusnya kita kenal dengan sebenar-benar kenal apakah itu Lailatul Qadar.

Apakah yg dimaksudkan dengan LAILATUL QADAR?
Malam Al-Qadar itu lebih baik dari 1000 bulan. Turunlah malaikat dan ruh(jibril) padanya dengan izin tuhan mereka, sejahteralah malam itu sehingga fajar. (surah Al-Qadr)

Mengapa dinamakan malam Al-Qadar?
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa sebab dinamakan malam Al-Qadar adalah kerana:
• Allah mentakdirkan pada malam itu umur manusia dan rezeki mereka.
• Allah menampakkan kepada para malaikat yang diutus mengurus keadaan para makhlukNya apa yang Allah tetapkan untuk tahun itu, iaitu Lailatul Qadar sehingga kepada Lailatul Qadar yang akan datang.

Peristiwa yang belaku di malam Al-Qadar:
• Al-Qur’an mula diturunkan pada malam tersebut.
• Para malaikat turun dalam satu keberangkatan yang gilang-gemilang disertai JIbril mengucapkan salam kepada orang-orang yang beramal.
• Ada yang mengatakan bilangan malaikat yang berada di bumi pada malam itu lebih banyak daripda pasir.
• Allah menerima taubat orang yang bertaubat pada malam tersebut.
• Malam itu dibuka pintu langit sejak dari terbenam matahari sampai terbit fajar.
• Jibril turun bersama angkatan malaikat meletakkan panjinya di tempat-tempat seperti di sisi Ka’bah, di sisi maqam Rasulullah SAW, di sisi Baitul Maqdis, di sisi Masjid Tursina.
• Malaikat memasuki rumah orang mukmin sambil bertasbih, bertahlil dan memohon keampunan untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Bila berlakunya Malam Al-Qadar ini?
Terdapat banyak pendapat tentang bilakah sebenarnya berlakunya malam Al-Qadar ini. Rasulullah sendiri tidak menjelaskan dengan tepat masanya.

Diriwayatkan oleh Malik dalam Al-Muwatta’ dari Said Al-Khudri: “ Adalah Rasulullah beriktikaf pada puluhan yang kedua dari bulan Ramadhan. Pada satu tahun setelah sampai pada malam 21 iaitu pada malam yang ia keluar pada paginya dari iktikafnya.”

Baginda bersabda: “ Sesiapa yang beriktikaf bersamaku, maka hendakalah beriktikaf di sepuluh yang terakhir. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan malam Al-Qadar, kemudian aku dijadikan lupa dan sungguh aku bersujud pada paginya di air dan di tanah kerana itu carilah ia di sepuluh akhir dan carilah ia di tiap-tiap malam yang ganjil”

Mengapa disembunyikan dan dirahsiakan malam Al-Qadar ini? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah supaya kita menghidupkan semua malam itu. Supaya kita berusaha memburu malam yang lebih baik dari seribu bulan itu, supaya kita bersungguh-sungguh dalam mengejar malam Al-Qadar.

Akhir kalam… Ana menyeru diri ana sendiri dan kalian para pembaca yang budiman, marilah kita sama-sama menghidupkan sepuluh malam yang terakhir di bulan yang penuh barakah ini. Sedar tidak sedar Bulan Ramadhan ini semakin meninggallkan kita. Rebutlah saki baki hari yang ada ini, hargailah masa-masa kecemasan ini.

Mungkinkah kita berhasil memburu Lailatul Qadar?

Ana tinggalkan kalian dengan sebuah persoalan ini.. tanya diri jawab sendiri.. Sama-sama kita muhasabah diri…

Wallahu a’lam. Ilal liqa’. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

~WaRkaH Buat Kalian~