Friday, April 30, 2010

~ CiNta AllaH itu MahaL kaN? ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

sungguh!
cinta Allah itu sgt mahalkan?

sekejap ia datang
dan seketika nanti ia akan hilang
terbang melayang
entah ke mana
dek kerana IMAN
terkadang bertambah dan berkurang

kadang-kadang bila terasa seperti semua kucar-kacir
hati gelisah
kosong
umpama Allah tiada di sisi
pasti ada sesuatu yg tertingal

YA!
mungkin ada sesuatu yg tercicir
makin sibuk dgn urusan duniakah?
makin bimbang akan takdirNya kah?

PASTI ADA SESUATU yg TERCICIR
muhasabah diri kembali

Allah sedang menunggumu
check mutabaah amal
check balik semua rutin itu menjadi suatu ibadah atau tidak

Allah ingin mengosongkan hatimu buat sementara
kerana Dia akan mengisinya dgn sesuatu yg lebih besar

InsyaAllah
muhasabah
pasti ada sesuatu yg tercicir
hubungan dgn manusiakah?

semua harus dijaga...

Tuesday, April 27, 2010

~ JadiLaH SeperTi CerMiN ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah...Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) Peringkat IPG Kampus Tuanku Bainun telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi. Walaupun cuaca yang sekejap panas, mendung dan tetiba hujan, namun para guru pelatih tetap bersemangat menjayakan KOT tersebut. Alhamdulillah... Itulah dia semangat bakal-bakal guru yang bakal mewarnai dunia pendidikan kelak.

Pagi tadi pelbagai ragam manusia ku lihat...

Kata Nabi Muhammad SAW, “Seorang yang beriman itu adalah cermin kepada saudaranya.” Kata-kata yang ringkas tetapi memberi makna mendalam. Nabi Muhammad hanya mengibaratkan seorang muslim kepada muslim yang lain dengan objek cermin. Mesti ada sebab-sebabnya bukan?

Hmmm, ciri paling umum sesuatu cermin adalah pantulan (reflection). Apabila kita berdiri di hadapan cermin, akan wujud imej kita di cermin tersebut. Betul tak? hee Itulah yang dipanggil sebagai pantulan. Sifat pantulan inilah yang perlu ada bagi setiap orang muslim, tidak kira guru, jurujual, doktor, peguam dan lain-lain lagi.

Dan kita perhatikan pula bagaimana cermin bertugas dalam memberi pantulan (reflection) yang perlu kita tiru dan contohi:

1. Senyap - Cermin memberi reflection tanpa berkata apa-apa. Begitulah juga kita, untuk menegur, perlulah menegur secara hikmah, baik bukannya dengan cara memaki hamun, mengata, mengumpat dan sebagainya. Jika ada yang mencaci atau menjela gerak kerja dakwah kita atau teguran kita, jangan terlalu cepat melatah sahabat-sahabat...ketahuilah, sesungguhnya itulah sunnah orang berjuang...tidak lekang dek cacian dan makian...bersabarlah..La takhaf wala tahzan. Inallaha Ma'ana...!

2. Sepanjang masa – Cermin memberi reflection sepanjang masa, tidak kiralah bila-bila masa kita ke cermin tersebut, pasti cermin tersebut akan menjalankan tugasnya. Dari pagi sampailah ke pagi esoknya. 24 jam. Begitulah juga dengan kita, perlu memberi imej diri yang baik 24 jam. Dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Bukan sejam dua sehari. Bukan sekali seminggu, mahupun dua kali sebulan. Jadilah muslim yang baik 24 jam!

3. Tidak lupa tugas - Jika kita memecahkan cermin, kita masih boleh nampak diri kita pada serpihan-serpihan cermin itu kerana perlu diingat reflection cermin sepanjang masa. Signifikannya biar dimaki hamun, dizalimi, atau dalam keadaan susah kita tetap perlu menunjukkan imej muslim yang baik. Lihatlah dan contohilah Rasulullah SAW, tatkala dicaci dan dihina dalam menyampaikan dakwah beliau tidak pernah menunjukkan sifat yang buruk bahkan tampil dengan qudwah hasanah setiap masa dan ketika sepanjang hayat baginda...

4. Tidak mengungkit - Keburukan yang terserlah hanya diberitahu semasa kita berhadapan dengan cermin. Cermin tidak akan menyimpan imej-imej buruk tersebut selepas kita beredar dari cermin tersebut. Begitulah juga dengan kita, setelah memberi teguran kepada saudara kita, haruslah kita cuba melupakan keburukan mereka. Jangan dicaci atau dihina mereka kerana mungkin mereka tidak sengaja. Sama seperti kita kadang kita tidak sengaja terpakai tudung terbaliklah, baju terbaliklah, songkok senget sikitlah dan cerminlah yang 'menegur' kita. Begitulah juga kita. Pimpinlah tangan-tangan mereka kembali menuju jalan yang diredhaiNYa...

Permata: Hmmm... mampukah kita menjadi seperti cermin?

Friday, April 23, 2010

~ KePada bakaL2 PeNGaNTiN ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah..usai menghadiri kursus pra perkahwinan Islam pada 17 dan 18 April yang lepas...ku sedar tuntutan pernikahan itu bukanlah suatu yang mudah. bak kata ustaz Rafuan: " Kamu ingat kahwin ni seronok ke?" huhu bukan kita tidak tahu, pabila berlaku pernikahan itu banyak tanggungjawab yang perlu dipikul...buat yang bergelar lelaki mahupun wanita...Hmmm, tak cukup p kursus kahiwn, fiqh nisa' di Surau Al-Ghazali tiap Jumaat lepas kelas tu pon dah masuk tajuk munakahat...hmmm, tak pe... tak pe..sebagai persediaan la katakan...

Namun, untuk entri kali ini bukanlah bab munakahat atau perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita yang saling berkasih sayang dan diciptakan untuk bersama itu yang ingin ku kongsikan bersama kalian...

Ya...kita semua bakal menjadi pengatin insyaAllah...tuk entri kali ini..tentang perkahwinan juga...tapi amat berlainan dari makna yang selalu bermain di minda kita apabila menyebut tentangnya...terimalah...

~ KePada bakaL2 PeNGaNTiN ~

Pada suatu masa yang ditetapkan...
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..?
Atau terkubur bersama dosa-dosa...?
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka...

Permata: Sudah bersedia mahu menjadi pengantinNya???

Tuesday, April 20, 2010

~ ViruS- viRus MerBaHaYa ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah...segala puji bagiMu ya Rabb...Selawat serta salam buat Rasulullah SAW yang sentiasa dirindui, para sahabat, ahli keluarga dan tabi'-tabi'in semuanya... Syukur padaMu ya Rabb...atas nikmat yang masih Kau kurniakan padaku untuk terus berpaut padaMu ya Rabb...Pintaku jangan sesekali Kau mengasingkan aku dari rahmat dan belas kasihMu....amin ya Rabb...

Sebelum ini, ada entriku tentang bagaimana membangun hubungan bukan? Nah, kali ini aku mahu berkongsi bersama kalian satu lagi berkenaan hubungan atau ukhuwah ini. Virus-virus merbahaya yang boleh menganggu gugat hubungan...

Kita tahu virus-virus yang membawa pelbagai penyakit merbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Namun kita lupa ada virus yang lebih bahaya jika ia sudah mula menjangkiti hati kita. Hmmm dah kata virus..mestilah bahaya...ye tak?

Yang ku maksudkan ialah virus-virus hati iaitu sifat-sifat keji yang bersarang di hati, bukan sahaja merosakkan ibadah kita, bahkan juga mengganggu pergaulan sesama rakan, suami isteri, jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara. Jesteru itu, kita perlu mengenal penyakit-penyakit hati ini supaya segera mencari penawarnya .

1. Ego Dan Sombong

Mungkin kita orang yang berpangkat atau mempunyai harta yang berlimpah ruah. Boleh jadi juga kita adalah seorang yang mahir dalam bidang tertentu, lalu kita merasakan diri tidak setaraf dengan mereka yang berpangkat rendah atau tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Ada waktunya kita merasakan maruah diri tercabar bila terpaksa duduk semeja dengan mereka yang dianggap golongan bawahan.

Nampaknya kita tidak sedar hati mula dijangkiti virus ego dan sombong. Ingatlah bahawa ego hanya membuatkan diri kita terasa asing dikalangan rakan dan taulan. Hanya Allah yang maha hebat ke atas makhluk ciptaanNya.

2. Pemarah

Naik angin adalah salah satu tanda-anda dijangkiti penyakit pemarah. Pantang ada yang kurang menyenangkan hati atau terganggu perasaan, mulalah hati rasa terbakar. Penyakit ini kalau berada di tengah pergaulan, boleh menyinggungkan perasaan pihak tertentu.

Rasa marah perlu di atasi dengan bersangka baik, berlapang dada menerima teguran, pemaaf dan sabar. Dengan demikian kita dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam pergaulan.

3. Hasad Dengki

Virus ini kalau bersarang di hati, kita tidak akan hidup senang jika melihat kejayaan orang lain. Kegembiraannya hanyalah bila orang itu ditimpa kesusahan.

Hati selalu sahaja berkata, "kalaulah rezeki itu milik aku".. itu menunjukkan kita tidak redha bila Allah memberikan rezeki itu kepada orang lain, sebaliknya mengharapkan diberikan kepada kita. Sedangkan kita tidak berusaha untuk mendapatkannya.

Apalah gunanya menyimpan hasad dengki. Allah menentukan takdir seseorang dengan pemberian yang berbeza-beza. Jika ada kelebihan pada sudut tertentu pada seseorang, maka sudah pasti ada juga kelemahannya yang tertentu di mana kita diberi kelebihan itu. Bersyukurlah dengan apa yang ada pada kita.

4. Dendam

Dendam adalah satu penyakit di mana rasa tidak puas hati terhadap seseorang hingga timbul niat mahu menyakiti atau membalas perbuatan yang dilakukan. Perasaan dendam boleh merosakkan pergaulan bukan sahaja dengan orang yang didendami bahkan orang-orang yang rapat dengannya.

Penyakit dendam ini boleh dihapuskan sekiranya kita sentiasa bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Memberikan maaf adalah penawar mujarab bagi penyakit ini. Setuju kan?

5. Buruk Sangka

Sangkaan buruk kita kepada orang lain belum dapat dipastikan lagi kebenarannya. Mungkin apa yang kita sangka, menyimpang terlalu jauh dari keadaan sebenar. Kesan dari pnyakit ini boleh menimbulkan fitnah dan mengundang perasaan marah serta dendam orang lain kepada kita. Misalnya, kenalan yang kita sangka sombong dan tidak mesra seperti selalu, mungkin menghadapi masalah atau sibuk dengan kerjanya. Tetapi dengan bersangka buruk, kita mengambil tindakan dengan menjauhkan diri daripadanya. Namun, Buruk sangka ini boleh dihindari dengan membisikkan sangkaan-sangkaan baik dalam hati kita! Biiznillah...

6. Bakhil/Kedekut

Di antara tanda penyakit ini menjangkiti hati ialah apabila terlalu berkira dengan orang lain. Jangankan hendak bersedekah atau memberi hadiah, hendak memberi hutang pun susah. Kita juga mungkin kedekut dari sudut ilmu. Pengetahuan yang ada susah hendak ditunjuk ajar kepada orang lain. Ish3..Kononnya takut orang lain lebih berilmu dari kita. Kita tidak sedar, bahawa ilmu yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita adalah untuk dikongsi dengan orang lain.

Begitu juga dengan apa saja nikmat pemberian Allah. Kedekut dengan nikmat bererti kita tidak amanah dengan Tuhan. Sedangkan dengan bersifat pemurah dan sentiasa memenuhi hajat orang lain, Allah akan menolong kita memenuhi hajat kita pula, disamping membuka pintu pergaulan dalam suasana yang harmoni dan berkat.

Sudah jelas dalam pergaulan, tindak tanduk kita dikawal dan dipengaruhi oleh hati. Sekiranya mahu memperbaiki pergaulan, maka terlebih dahulu perlulah mencegah atau merawat hati kita dari segala virus yang keji ini. Peliharalah hubungan hati dengan Allah dan sesama manusia. InsyaAllah ukhuwah fillah abadan abadaa...amin...

Permata: Ayuh muhasabah diri...adakah diri kita dilengkapi anti-virus yang boleh melindungi diri dari virus-virus yang merbahaya itu??

Saturday, April 17, 2010

~ ToloNG INgatkaN SaYa ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Tolong ingatkan saya,
Andai saya terlupakan tuhan,
Dalam kelapangan dan kesibukan,
Dalam kesenangan dan kesusahan.

Tolong ingatkan saya,
Jangan jadi anak derhaka,
Mak ayah dilupakan jangan,
Usah diluka hati dan perasaan.

Tolong ingatkan saya,
Dengarlan dan bacalah Al-Quran,
Tika radio penuh hiburan,
Tika tv penuh Hindustan.

Tolong ingatkan saya,
Di mana silamnya zahirku,
Jika aurat didedahkan disingkat,
Diketat dan dijarangkan.

Tolong ingatkan saya,
Jadilah sahabat yang baik,
Sentiasa memberi peringatan,
Sentiasa menerima teguran.

Tolong ingatkan saya,
Kalau bercinta biarlah keranaNya,
Dalam memilih utamakan iman,
Kelak ikatan dihindari syaitan.

Tolong ingatkan saya,
Hidup ini satu kembara,
Kutiplah mutiara dalam perjalanan,
Moga di sana menjadi bekalan.

Tolong ingatkan saya,
Diri ini milik Yang Kuasa kepadaNya,
Jiwa diserahkan segala-segala,
Dialah tumpuan.

Thursday, April 15, 2010

~ BaGaimaNa MemBaNGuN HubuNGaN ? ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang...

Berbicara tentang komunikasi dan hubungan dengan orang lain, mempengaruhi mereka dan mengambil manfaat atas apa yang ada pada mereka, menuntut kita membicarakan tentang seni membangun hubungan dengan orang lain, metod dan cara yang perbagai serta fleksibiliti dalam berinteraksi dengan mereka. Ataupun boleh disimpulkan sebagai satu seni kehidupan yang wajib, yang tidak boleh tidak dan harus dimiliki setiap manusia jika mahu hidup bahagia. Terlebih lagi dengan seorang da'ie yang menjalankan perniagaan islam dan selalunya secara direct selling, sangat perlu memerhatikan hal ini.

Berikut beberapa kaedah penting yang harus diikuti dalam membina hubungan dengan orang lain.

1. Perbaiki Hubungan Dengan Allah swt.

Perbaiki hubungan denganNya, maka Allah swt akan memperbaiki hubungan kita dengan orang lain, kerana hati kita berada di dalam genggamanNya, Dia yang membolak balikkannya menurut kehendakNya. Dialah yang membuat kita ketawa dan menangis.

"Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (8:62,63)

2. Mengkaji Karakter Seseorang

Beberapa kajian psikologi telah membuktikan bahawa setiap orang mempunyai corak, ragam dan karakter tertentu; dan secara umum setiap corak, ragam atau karakter itu bersifat visual (seseorang dalam melihat alam ini dan berinteraksi cenderung melalui gambar) atau boleh berkarakter mendengar (cenderung melalui kata-kata) atau berkarakter merasakan (cenderung melalui perasaan-perasaan dan getaran hati nuraninya.

Oleh sebab itu, mengenali karakter seseorang, kemudian berusaha memasukinya melalui karakter yang ada, menyebabkan keserasian yang cepat.

3. Ambil Tempat Orang Lain

Posisikan diri kita seperti orang lain, kemudian bicara pada mereka sesuatu yang mereka suka, pergauili mereka dengan sikap yang sesuai bagi mereka. Selalunya kita apabila memulakan bicara, lebih enak membicarakan soal sendiri lalu menyebabkan pendengar bosan. Elakkan.

4. Senyum

Senyumlah selalu, lebih-lebih ketika keadaan menekan atau kejadian yang menyedihkan.

5. Ketenangan

Jagalah ketenangan diri dan emosi hati kita ketika terjadi sesuatu yang mmembuat hati menjadi emosi atau marah. Ingatlah wasiat Rasulullah, "Jangan marah, jangan marah, jangan marah".

6. Selalu mempertimbangkan perasaan orang lain, hak-hak dan keperluan mereka

7. Pilih Kata-kata

Pilih perkataan dalam percakapan dengan pernuh hati-hati, lebih-lebih lagi dalam pertemuan pertama. Berseri dan bergembira ketika berbicara dengan orang lain. Jauhi dari mimik dan raut muka kasar, walaupun kata-kata kita lebih lembut dari angin.

8. Jika keadaan tidak memungkinkan kita untuk bercakap soal tertentu, tangguhkan dengan lembut dan tunda ke waktu lain yang lebih tepat.

9. Hiasi ucapan dan bicara kita dengan kelembutan, humor atau peribahasa, tetapi jangan berlebihan, serta jangan menipu.

10. Memberi hadiah walaupun kecil, bersegera dalam menolong dan membantu orang lain, walaupun sedikit adalah salah satu faktor dan saranan penting untuk menarik hati dan membangun hubungan antara sesama. Rasulullah bersabda, "Saling memberilah hadiah kalian nescaya kalian akan saling mencintai".

11. Menyebarkan salam dan membalas ucapan salam dengan lebih baik merupakan kunci hati, maka berusahalah untuk memiliki kunci ini dan janganlah kitaa seperti sebahagian orang yang jika orang lain memberi penghormatan, dia memandang pelik kerana tidak kenal.

12. Tepati janji dan jujur dalam berbicara walaupun kita tidak mampu berbuat seperti apa yang mereka inginkan. Tidak ada sifat anusia yang lebih kita dan lebih jijik dari dusta. Sifat dusta dapat menurunkan darjat dan kehormatan seseorang, di samping dapat menyebabkan orang lain tidak percaya lagi padanya.

13. Dermawan walaupun sedikit dapat menempatkan kita pada posisi tertinggi dan terhormat di hati manusia. Tidak mungkin seseorang yang memperoleh kecintaan dari manusia kalau dia mempunyai sifal bakhil.

14. Sederhana, tidak memberatkan dalam berhubungan dengan orang lain, teratur dan serasi dalam kehidupannya dapat menyebabkan orang lain menghormati kita, bahkan dari musuh sekalipun.

15. Selalu menjaga kebersihan badan, mulut, pakaian, penampilan diri tanpa berlebihan, dan berbau harum merupakan salah satu sarana yang membuat orang lain senang berinteraksi dengan kita.

Sumber: Halaqah-Online

Tuesday, April 13, 2010

~ 99 SanTaPaN JiWa ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, segala puji bagiMu ya rabb..selawat dan salam buat Rasulullah junjungan yang mulia, ahli keluarga baginda, para sahabat dan para tabi'-tabi'in semuanya...Sudah 10 hari ku biarkan laman ini kosong tanpa update..bukan niatku menghilangkan diri namun dek kerana tugasan yang begitu banyak membelenggu diri ini, maka terpaksa ku menyepi diri dari laman ini..Alhamdulillah, kini ku berpeluang sekali lagi bersama kalian tuk sama-sama muhasabah diri kita kembali insyaAllah..Pada entri kali ini ku titipkan buat kalian sebuah perkongsian daripada seorang sahabat melalui emel iaitu 99 Santapan Jiwa...bacalah, perhatikan dan seterusnya ayuh kita bersama mengamalkannya...insyaAllah..

01. Bersyukur apabila mendapat nikmat
02. Sabar apabila mendapat kesulitan
03. Tawakal apabila mempunyai rencana/ rancangan
04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan
05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan
06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
08. Jangan iri hati dengan kekayaan orang
09. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
10. Jangan sombong jika memperoleh kejayaan
11. Jangan tamak kepada harta
12. Jangan terlalu menghendaki akan sesuatu kedudukan
13. Jangan hancur kerana kezaliman
14. Jangan goyah kerana fitnah
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram
17. Jangan sakiti ayah dan ibu
18. Jangan usir orang yang meminta-minta
19. Jangan sakiti anak yatim
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu'
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjemaah di masjid
25. Biasakan solat malam
26. Perbanyak zikir dan doa kepada Allah
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
28. Sayangi dan santuni fakir miskin
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah
30. Jangan marah berlebih-lebihan
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah
33. Berlatihlah untuk banyak berfikir
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
36. Jangan percaya ramalan manusia
37. Jangan terlampau takut miskin
38. Hormatilah setiap orang
39. Jangan terlampau takut kepada manusia
40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala
41. Berlakulah adil dalam segala urusan
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran
45. Perbanyakkan silaturrahim
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
47. Bicaralah secukupnya
48. Beristeri/bersuami jikalau cukup syaratnya
49. Hargai waktu, aturkan waktu dan manfaatkan waktu
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur
51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga
53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan
54. Hormatilah kepada guru dan ulama
55. Selalulah berselawat kepada nabi
56. Cintai keluarga Nabi saw
57. Jangan terlalu banyak hutang
58. Jangan terlampau mudah berjanji
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap yang tidak berguna
61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
66. Jangan membenci seseorang kerana pahaman dan pendiriannya
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapat kesulitan
70. Jangan melukai hati orang lain
71. Jangan membiasakan berkata dusta
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita,lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita
78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan
80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya
81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
85. Hargai kejayaan dan pemberian orang
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan
kemampuan diri kita
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana
91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk
melupakan jasa kita
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata
sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina
93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang bersangkutan teman kita sebelum
dipastikan kebenarannya
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajipan
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat)dengan penuh keakraban dan
keramahan dan tidak berlebihan
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri
97. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
98. Yakinlah bahawa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan
99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

Permata: Subhanallah...mampukah kita mengamalkan kesemua 99 santapan jiwa ini? insyaAllah marilah kita sama-sama merangkak dan bertatih dalam mengamalkan tiap satu daripada 99 santapan jiwa ini...biiznillah...

Sunday, April 4, 2010

~ Aku HaiRaN KePada MereKa...~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

“Wahai anak Adam, Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhintungan tetapi dia masih mengumpulkan harta.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur, tetapi masih tertawa.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi masih beristirehat.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya, tetapi dia masih tenang dengannya.

Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya tetapi jahil pada hatinya.

Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air tetapi hatinya tidak suci.

Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan keaiban orang lain tetapi dia lupa terhadap dirinya sendiri.

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya tetapi dia masih boleh melakukan maksiat atau mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan keseorangan, akan memasuki kubur keseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia.

Ketahuilah, tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku.”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah).

Friday, April 2, 2010

~ aRe U ReaDY??? ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Sudah Bersediakah Anda Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih….
Walaupun orang yang hadir itu merintih….

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai….
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa….
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus….
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud….
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian….
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat….
Usunglah dirimu ke tikar Solat….
Sebelum kamu diusung ke liang lahad….
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid….
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia….
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa’!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ..
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal….
Bukan yang pergi!

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada….
Kamu tetap memijak bumi Tuhan!
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!
Serta menikmati rezeki Tuhan!
Justeru bila Dia menyeru,….
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia….
memanggilmu buat kali yang terakhirnya!
Ingatlah kamu dahulu hanya….
setitis air yang tidak bererti!

Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti….

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu….
Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu….
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia….
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’….
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’….
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal….
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan.. ..
Guna kembali ke pangkuan Tuhan!

Pada hari itu tiada berguna….
Harta, tahta dan putera….
Isteri, kad kredit dan kereta….
Kondominium, saham dan niaga….
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

Permata: Sama-samalah kita muhasabah diri kembali...Sesungguhnya kita semua PASTI kembali kepadaNya...

Thursday, April 1, 2010

~ Awas! ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, segala puji bagiMU ya Rabb kerana masih memberiku sedikit kekuatan untuk terus berkongsi bersama kalian melalui laman ini...Sudah sebulan aku tinggalkan dan membiarkan sahaja laman kesayanganku ini tanpa sebarang berita...

Maka hari ini, aku ingin membuka lembaran baru...mahu terus bersama-sama kalian..sama-sama mengislahkan diri...

Sahabat...

SALAH satu sifat terpuji yang menghiasi diri orang beriman ialah sifat menjauhkan diri daripada amalan sia-sia. Maknanya, setiap Muslim perlu memelihara diri dari segala perkataan atau perbuatan melalaikan yang tidak memberikan manfaat dalam kehidupan dan yang menyebabkan seseorang lalai serta lupa dalam melaksanakan perintah Allah.

Sebaliknya, dia semakin berani melakukan segala tegahan dan larangan Allah yang hanya akan menempah penyesalan yang tiada penghujungnya di kemudian hari.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam surah al-Furqan antara ciri-ciri golongan ‘Ibadur Rahman’ (gelaran istimewa golongan mukmin terpilih di sisi Allah) iaitu memelihara diri daripada amalan sia-sia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka itu (golongan Ibadur Rahman) tidak mahu menjadi saksi palsu dan apabila mereka bertemu dengan perkara yang sia-sia mereka berlalu secara terhormat.” (Surah al Furqan, ayat 72).

Ahmad Sondhaji Mohamad dalam kitab tafsirnya Abrul Athir ketika mentafsirkan ayat itu menyatakan bahawa lafaz al-Laghwu (perkara sia-sia) bermaksud tiap-tiap perkara yang wajib dibuang dan ditinggalkan kerana sia-sia atau segala perbuatan maksiat.

Perkara sia-sia itu terbit daripada orang kafir seperti memaki-maki rasul, mempersendakan al-Quran, mencampuri urusan sia-sia atau majlis senda gurau, maka seseorang Muslim hendaklah berpaling meninggalkannya dengan segera secara terhormat, iaitu tidak akan membabitkan diri, bahkan menjaga diri supaya bersih daripada perkara keburukan itu.

Selanjutnya, sifat itu juga menjadi lambang kepada identiti kesempurnaan Islam Muslim sebagaimana tergambar melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya, antara kesempurnaan Islam seseorang manusia itu ialah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah baginya.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Jelas di sini bahawa Islam adalah tatacara kehidupan serba lengkap dan menyeluruh yang wajib diangkat sebagai teras yang menerajui segala lapangan kehidupan manusia yang beraneka ragam.

Islam bukan sekadar menitik beratkan soal hubungan antara manusia dengan Allah, malah Islam mengambil berat mengenai soal hubungan sesama manusia bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup ummah.

Justeru, Islam melarang keras umat Islam daripada melakukan amalan sia-sia bercanggah dengan nilai murni dan juga syariat Islam seperti judi, berzina, melepak kosong di kedai kopi dan di kawasan kaki lima, bermain sesuatu permainan yang melalaikan hingga terlupa menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah, sebagai seorang ayah atau suami kepada keluarganya.

Mereka juga lupa tanggungjawab sebagai anggota masyarakat dan lain-lain lagi. Sedangkan umum maklum betapa amalan itu tidak membawa faedah kepada dirinya atau kepada orang lain, malah ia hanya mengundang seribu satu masalah dan gejala sosial yang akhirnya membawa padah serta akibat buruk kepada masyarakat.

Rata-rata umat Islam kini dibuai kelalaian dan keseronokan memanjang dalam mengisi waktu yang terluang dalam kehidupan mereka.

Maka tidak hairanlah ada golongan muda yang menghabiskan masa sepanjang hari dengan melepak dan bersuka ria di bandar utama dengan alasan mahu melepaskan diri daripada tekanan hidup atau belajar dan kongkongan keluarga di rumah.

Tidak kurang pula dengan golongan dewasa yang menghabiskan masa di kedai kopi atau warung di tepi jalan dengan alasan mahu merehatkan jiwa serta mental daripada kesibukan kerja pada siang hari.

Lebih malang, ada umat Islam yang terikut-ikut budaya Barat apabila menjelangnya bulan April hingga mereka sanggup melakukan pelbagai amalan April Fool yang terang-terangan bercanggah dengan akhlak Islam.

Ini adalah sebahagian fenomena kurang sihat yang kini semakin membarah dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan bahawa segala amalan dan permainan yang membawa kepada kelalaian daripada ketaatan kepada Allah dianggap sebagai batil serta sia-sia.

Hal ini dijelaskan sendiri Rasulullah melalui sabda baginda yang bermaksud: “Setiap perkara yang menyebabkan kelalaian kepada seseorang Muslim dianggap perkara batil kecuali latihan memanah, mengasuh atau menjinakkan seekor kuda dan bersenda gurau dengan isteri dan ahli keluarga. Perkara itu adalah dibenarkan dan diharuskan di sisi syarak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Walaupun begitu, bukan semua amalan itu termasuk dalam kategori perkara batil. Jelas maksud hadis ini ialah Islam tidak pernah menyekat kebebasan individu Muslim mencari kerehatan jiwanya, mental dan juga fizikal dalam menelusuri gelombang hidup yang penuh pancaroba.

Oleh itu, Islam mengharuskan tiga amalan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis itu bertujuan membina kekuatan jasmani, ketahanan jiwa dan kemantapan iman dalam mengemudi bahtera hidup.

Oleh itu, Islam mengharuskan kegiatan memanah dan menunggang kuda sebagai contoh daripada kegiatan riadah dan kegiatan kesukanan yang memberi manfaat kepada seseorang dari aspek mental, jiwa dan juga fizikal.

Pendek kata, segala bentuk dan jenis kegiatan sukan sebenarnya diharuskan kepada manusia dengan syarat ia tidak bercanggah dengan landasan syarak, memelihara nilai hidup, menjaga adab pergaulan dan ia tidak pula membawa mudarat kepada diri serta masyarakat.

Jika kegiatan kesukanan itu disemarakkan dalam masyarakat Islam, maka umat Islam sudah pasti mampu membina kekuatan fizikal dan ketahanan diri sebagaimana dianjurkan Islam.

Tambahan pula kegiatan kesukanan itu dapat menghindarkan diri umat Islam daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan kepada Allah.

Selain itu, Islam mengharuskan sebarang kegiatan yang akan memantapkan institusi keluarga. Kegiatan itu dilihat sebagai usaha untuk membentuk keluarga yang bahagia.

Kegiatan berkelah, riadah dan bergurau senda antara ahli keluarga adalah antara kunci utama ke arah mewujudkan keluarga harmoni.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Bermainlah dengan anak kamu dalam usia tujuh tahun pertama, kemudian didiklah dan asuhlah anak kamu dengan tarbiah Islam dalam usia tujuh tahun yang kedua, selepas itu bersahabatlah dengan anak kamu dalam usia tujuh tahun yang ketiga dan akhirnya bebaskanlah anak kamu selepas daripada itu.

Inilah rahsia dan hikmah tersurat serta tersirat mengapa Islam mengharuskan kegiatan riadah dan bergurau senda dengan ahli keluarga dengan harapan untuk merealisasikan cita-cita Islam ke arah masyarakat Islam cemerlang dalam pelbagai lapangan hidup.

Oleh itu, umat Islam digesa tidak terpengaruh dengan budaya Barat yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat, sebaliknya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang pasti akan menjamin kesejahteraan hidup dunia akhirat.

~WaRkaH Buat Kalian~