Wednesday, November 11, 2009

~ TeRus MeNdaKi~


Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Pemurah...

Alhamdulillah, pagi tadi usai menjawab kertas Pengajian Islam 1 dengan hati yang tenang. Moga natijahnya seperti yang diharap-harapkan. amin...Hmmm, tinggal satu sahaja lagi kertas peperiksaan yang tinggal iaitu Pengajian Islam 2 yang meliputi madah Qiraat, Ulum hadis, Tamadun Islam dan Akhlak Islamiyah.Ya Allah, tak sabarnye nak habis exam...Moga segalanya dipermudahkan olehNya. Amin ya Rabbal 'Alamin..

Menuntut ilmu adalah umpama mendaki sebuah bukit di mana dalam pendakian tersebut seseorang akan bersinggah di 5 tempat persinggahan:


Persinggahan pertama (di kaki bukit, sebelum mula mendaki):
Ini adalah tempat asal semua penuntut ilmu, di mana seseorang itu berada didalam keadaan jahil dan tidak tahu-menahu.

Persinggahan kedua:
Ini adalah tempat semua orang yang ingin mengubati kejahilan dirinya. Di tempat ini akan ditemui berbagai sumber ilmu pengetahuan. Dengan sikap terbuka lagi bersemangat seseorang itu mengambil dan memanfaatkan semua ilmu-ilmu yang ditemuinya di sini.

Persinggahan ketiga:
Ini adalah tempat bagi orang yang telah mengumpul semua ilmu yang ditemuinya di persinggahan kedua. Dengan terkumpulnya semua ilmu tersebut, dia merasakan dirinya hebat dan alim. Maka ditempat persinggahan ini seseorang itu berubah menjadi takabur, ujub dan sombong. Dia tidak lagi mahu membuka pintu-pintu ilmunya melainkan orang lainlah yang wajib membuka pintu mereka untuk menerima sumbatan ilmunya.

Persinggahan keempat.
Jika seseorang itu mahu meneruskan pendakian setelah tempat persinggahan ketiga, dia akan menemui tempat persinggahan ini yang dipenuhi dengan sumber-sumber yang dapat menyedarkan dirinya. Kesedaran ini akan mengubah dirinya ke arah sifat tawadhu' dan rendah diri. Dia akan kembali sebagaimana dirinya di tempat persinggahan kedua, suka berkongsi ilmu dan bertukar pendapat. Hanya sahaja kini dia lebih matang dan dewasa, hasil hikmah sifat tawadhu' yang menyinar dari hatinya. Seterusnya dia mendaki lagi:

Persinggahan kelima (di puncak bukit):
Di persinggahan ini dia mencapai kemuncak ilmu, iaitu dia tahu bahawa dia sebenarnya tidak tahu apa-apa melainkan Allah yang mengetahui semuanya. Apa sahaja yang benar disedari bahawa ia berasal dari Allah manakala apa sahaja yang salah diakui bahawa ia berasal dari kelemahan dirinya sendiri.

Kita sekarang berada di persinggahan yang mana ? Harapnya bukan yang pertama dan bukan yang ketiga. Jika kita berada di tempat persinggahan pertama atau ketiga ini, ayuhlah cepat-cepat kita meneruskan pendakian. Janganlah berehat lama-lama di sana. Jika kita berada di persinggahan keempat, ingatlah bahawa kita sedang mendaki bukit, bila-bila masa boleh tergelincir jatuh ke bawah.

Teruskan mendaki. Dan kita mendaki sebagai satu pasukan. Insya-Allah semoga kita semua sampai ke puncak bukit, di tempat persinggahan kelima.

Permata: ya Allah, permudahkan pendakian kami...Amin ya Rabbal 'Alamin...

No comments:

Post a Comment

~WaRkaH Buat Kalian~