Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
PESANAN BUAT TEMAN RENUNGILAH DIRI...
Teman, Jadikanlah kehidupan kita di bumi sementara ini berpandukan nur iman dan islam bukannya berdasarkan nafsu yang sentiasa inginkan kebebasan dan keseronokan yang tidak berkesudahan. Seorang ulama' telah mengukirkan ungkapan indah bagaimana Allah mencipta malaikat dengan diberikan kepada mereka akal tanpa nafsu, binatang pula dianugerahi nafsu tanpa akal manakala manusia diberikan keduanya sekali iaitu akal dan nafsu. Sesiapa yang mampu mengawal nafsunya dengan akal yang berpandukan syariat Ilahi maka dia lebih baik daripada malaikat tetapi jika dia tewas dengan pujukan nafsunya maka dia lebih hina daripada binatang.
Kita juga pernah mendengar kisah bagaimana seorang 'abid di zaman silam apabila terdetik sahaja kehendak nafsunya yang inginkan keseronokan maka dia akan berguling di atas padang pasir yang panas sambil mengatakan kepada dirinya sendiri adakah tubuhnya akan dapat menahan daripada azab neraka yang lebih panas daripada itu.
Seorang yang lain pula menangis sehingga hilang penglihatannya kerana menyesal dengan dosa yang dilakukan. Tidak ketinggalan dicoretkan bagaimana seorang hamba yang bertaqwa tetapi pada suatu hari seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengawal kehendak nafsunya dan cuba melakukan zina dengan seorang pelacur yang dilihatnya tetapi sebelum terlanjur ke arah kemunkaran dia tersebut nama Allah lalu dia jatuh dan menggelempar serta menghembuskan nafas terakhir di situ juga kerana begitu ketakutan dengan apa yang cuba dilakukan.
Bagaimana pula dengan diri kita wahai teman? Godaan dan cubaan berada di sekitar kita. Adakah kita telah cuba sedaya yang mungkin di dalam menghindarinya ataupun kita sendiri dihanyutkan oleh keadaan sekeliling?
Jagalah pancaindera kita daripada kemungkaran yang melata. Ingatlah pesanan Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hamba yang baik ialah mereka yang beragama dan menyediakan bekalan amalan selepas mati. Manakala orang sombong adalah mereka yang mengikut kehendak nafsu dan mengharapkan belas kasihan Allah semata-mata.
Teman, Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita wahai teman?. Adakah kita merasakan ia sudah banyak dan mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah mengenai seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Allah telah mengutuskan malaikat kepadanya dan menyatakan bahawa ibadatnya yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk merasai nikmat Syurga Allah. Lalu dia menyatakan bahawa dia beribadat kerana dia dijadikan untuk beribadat bukannya mengharapkan balasan. Apabila malaikat memberitahu kepada Allah tentang jawapan yang telah diberikan maka Allah menyatakan bahawa Dia telah mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu.
Rabi'ah 'Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah menyatakan bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana takut azab Allah dan mengharapkan syurga Allah tetapi dilakukan kerana taat dan patuh pada perintahNya.
Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia akan mencapai sesuatu tanpa kesungguhan maka dia sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa yang bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan usaha yang bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.
Sayyidina Hassan juga pernah mengingatkan bahawa mengharapkan Syurga tanpa amalan merupakan satu dosa daripada dosa-dosa yang lain.
Teman, Imam al-Ghazali pernah menasihati kita bahawa ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.
Ketahuilah bahawa ilmu tidak mampu menjauhkan diri kita hari ini daripada maksiat dan tidak akan mendorong kepada taat serta tidak menjauhkan diri kita daripada azab neraka. Jika kita tidak beramal hari ini maka kita tidak akan dapat kembali untuk beramal pada hari yang telah berlalu pergi.
Permintaan kita untuk kembali ke dunia setelah berlakunya qiamat tidak akan diterima malah kita akan diherdik dengan kata-kata pedas : Wahai orang yang bongkak! Mengapa kamu datang dari sana tanpa bekalan?.
Rasulullah beristighfar lebih 70 kali sehari dan sentiasa mengamalkan salam kepada para sahabat sehingga para sahabat merasa malu kerana setiap kali berjumpa maka Rasulullah S.A.W yang merupakan orang pertama yang memberi salam bukannya mereka.
Bagaimana dengan kita wahai teman? Hayatilah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dan timbanglah amalan kamu sebelum ia ditimbang oleh Allah kelak.
Teman, Renungilah kata-kata imam al-Ghazali bahawa jika kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan. Sekalipun seseorang hamba memasuki Syurga dengan kelebihan dan kasih sayang daripada Allah tetapi ia dapat dicapai selepas dia menunaikan segala ketaatan dan ibadat kerana rahmat Allah hampir dengan orang yang sentiasa mengerjakan amalan yang baik dan soleh.
Renunglah dirimu wahai teman!
Permata: ayuh sama2 kita tingkatkan amalan...pesanan khusus buat diri ini dan amnya buat kalian saudara2 ku seaqidah yang amat ku cintai keranaNYa...
Salam..syukur ke hadrat Ilahi menemukan sy dgn blog seumpama ini...Teruskan berkarya untuk ALLAH..
ReplyDeleteSalam Afwan~ yang baik dari Allah.. Moga hadirnya blog ini dapat menambah keimanan kepadaNya. Amin...
ReplyDelete