Sunday, April 4, 2010

~ Aku HaiRaN KePada MereKa...~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

“Wahai anak Adam, Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhintungan tetapi dia masih mengumpulkan harta.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur, tetapi masih tertawa.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi masih beristirehat.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya, tetapi dia masih tenang dengannya.

Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya tetapi jahil pada hatinya.

Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air tetapi hatinya tidak suci.

Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan keaiban orang lain tetapi dia lupa terhadap dirinya sendiri.

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya tetapi dia masih boleh melakukan maksiat atau mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan keseorangan, akan memasuki kubur keseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia.

Ketahuilah, tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku.”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah).

Friday, April 2, 2010

~ aRe U ReaDY??? ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Sudah Bersediakah Anda Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih….
Walaupun orang yang hadir itu merintih….

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai….
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa….
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus….
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud….
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian….
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat….
Usunglah dirimu ke tikar Solat….
Sebelum kamu diusung ke liang lahad….
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid….
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia….
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa’!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ..
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal….
Bukan yang pergi!

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada….
Kamu tetap memijak bumi Tuhan!
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!
Serta menikmati rezeki Tuhan!
Justeru bila Dia menyeru,….
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia….
memanggilmu buat kali yang terakhirnya!
Ingatlah kamu dahulu hanya….
setitis air yang tidak bererti!

Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti….

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu….
Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu….
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia….
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’….
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’….
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal….
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan.. ..
Guna kembali ke pangkuan Tuhan!

Pada hari itu tiada berguna….
Harta, tahta dan putera….
Isteri, kad kredit dan kereta….
Kondominium, saham dan niaga….
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

Permata: Sama-samalah kita muhasabah diri kembali...Sesungguhnya kita semua PASTI kembali kepadaNya...

Thursday, April 1, 2010

~ Awas! ~


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, segala puji bagiMU ya Rabb kerana masih memberiku sedikit kekuatan untuk terus berkongsi bersama kalian melalui laman ini...Sudah sebulan aku tinggalkan dan membiarkan sahaja laman kesayanganku ini tanpa sebarang berita...

Maka hari ini, aku ingin membuka lembaran baru...mahu terus bersama-sama kalian..sama-sama mengislahkan diri...

Sahabat...

SALAH satu sifat terpuji yang menghiasi diri orang beriman ialah sifat menjauhkan diri daripada amalan sia-sia. Maknanya, setiap Muslim perlu memelihara diri dari segala perkataan atau perbuatan melalaikan yang tidak memberikan manfaat dalam kehidupan dan yang menyebabkan seseorang lalai serta lupa dalam melaksanakan perintah Allah.

Sebaliknya, dia semakin berani melakukan segala tegahan dan larangan Allah yang hanya akan menempah penyesalan yang tiada penghujungnya di kemudian hari.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam surah al-Furqan antara ciri-ciri golongan ‘Ibadur Rahman’ (gelaran istimewa golongan mukmin terpilih di sisi Allah) iaitu memelihara diri daripada amalan sia-sia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka itu (golongan Ibadur Rahman) tidak mahu menjadi saksi palsu dan apabila mereka bertemu dengan perkara yang sia-sia mereka berlalu secara terhormat.” (Surah al Furqan, ayat 72).

Ahmad Sondhaji Mohamad dalam kitab tafsirnya Abrul Athir ketika mentafsirkan ayat itu menyatakan bahawa lafaz al-Laghwu (perkara sia-sia) bermaksud tiap-tiap perkara yang wajib dibuang dan ditinggalkan kerana sia-sia atau segala perbuatan maksiat.

Perkara sia-sia itu terbit daripada orang kafir seperti memaki-maki rasul, mempersendakan al-Quran, mencampuri urusan sia-sia atau majlis senda gurau, maka seseorang Muslim hendaklah berpaling meninggalkannya dengan segera secara terhormat, iaitu tidak akan membabitkan diri, bahkan menjaga diri supaya bersih daripada perkara keburukan itu.

Selanjutnya, sifat itu juga menjadi lambang kepada identiti kesempurnaan Islam Muslim sebagaimana tergambar melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya, antara kesempurnaan Islam seseorang manusia itu ialah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah baginya.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Jelas di sini bahawa Islam adalah tatacara kehidupan serba lengkap dan menyeluruh yang wajib diangkat sebagai teras yang menerajui segala lapangan kehidupan manusia yang beraneka ragam.

Islam bukan sekadar menitik beratkan soal hubungan antara manusia dengan Allah, malah Islam mengambil berat mengenai soal hubungan sesama manusia bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup ummah.

Justeru, Islam melarang keras umat Islam daripada melakukan amalan sia-sia bercanggah dengan nilai murni dan juga syariat Islam seperti judi, berzina, melepak kosong di kedai kopi dan di kawasan kaki lima, bermain sesuatu permainan yang melalaikan hingga terlupa menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah, sebagai seorang ayah atau suami kepada keluarganya.

Mereka juga lupa tanggungjawab sebagai anggota masyarakat dan lain-lain lagi. Sedangkan umum maklum betapa amalan itu tidak membawa faedah kepada dirinya atau kepada orang lain, malah ia hanya mengundang seribu satu masalah dan gejala sosial yang akhirnya membawa padah serta akibat buruk kepada masyarakat.

Rata-rata umat Islam kini dibuai kelalaian dan keseronokan memanjang dalam mengisi waktu yang terluang dalam kehidupan mereka.

Maka tidak hairanlah ada golongan muda yang menghabiskan masa sepanjang hari dengan melepak dan bersuka ria di bandar utama dengan alasan mahu melepaskan diri daripada tekanan hidup atau belajar dan kongkongan keluarga di rumah.

Tidak kurang pula dengan golongan dewasa yang menghabiskan masa di kedai kopi atau warung di tepi jalan dengan alasan mahu merehatkan jiwa serta mental daripada kesibukan kerja pada siang hari.

Lebih malang, ada umat Islam yang terikut-ikut budaya Barat apabila menjelangnya bulan April hingga mereka sanggup melakukan pelbagai amalan April Fool yang terang-terangan bercanggah dengan akhlak Islam.

Ini adalah sebahagian fenomena kurang sihat yang kini semakin membarah dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan bahawa segala amalan dan permainan yang membawa kepada kelalaian daripada ketaatan kepada Allah dianggap sebagai batil serta sia-sia.

Hal ini dijelaskan sendiri Rasulullah melalui sabda baginda yang bermaksud: “Setiap perkara yang menyebabkan kelalaian kepada seseorang Muslim dianggap perkara batil kecuali latihan memanah, mengasuh atau menjinakkan seekor kuda dan bersenda gurau dengan isteri dan ahli keluarga. Perkara itu adalah dibenarkan dan diharuskan di sisi syarak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Walaupun begitu, bukan semua amalan itu termasuk dalam kategori perkara batil. Jelas maksud hadis ini ialah Islam tidak pernah menyekat kebebasan individu Muslim mencari kerehatan jiwanya, mental dan juga fizikal dalam menelusuri gelombang hidup yang penuh pancaroba.

Oleh itu, Islam mengharuskan tiga amalan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis itu bertujuan membina kekuatan jasmani, ketahanan jiwa dan kemantapan iman dalam mengemudi bahtera hidup.

Oleh itu, Islam mengharuskan kegiatan memanah dan menunggang kuda sebagai contoh daripada kegiatan riadah dan kegiatan kesukanan yang memberi manfaat kepada seseorang dari aspek mental, jiwa dan juga fizikal.

Pendek kata, segala bentuk dan jenis kegiatan sukan sebenarnya diharuskan kepada manusia dengan syarat ia tidak bercanggah dengan landasan syarak, memelihara nilai hidup, menjaga adab pergaulan dan ia tidak pula membawa mudarat kepada diri serta masyarakat.

Jika kegiatan kesukanan itu disemarakkan dalam masyarakat Islam, maka umat Islam sudah pasti mampu membina kekuatan fizikal dan ketahanan diri sebagaimana dianjurkan Islam.

Tambahan pula kegiatan kesukanan itu dapat menghindarkan diri umat Islam daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan kepada Allah.

Selain itu, Islam mengharuskan sebarang kegiatan yang akan memantapkan institusi keluarga. Kegiatan itu dilihat sebagai usaha untuk membentuk keluarga yang bahagia.

Kegiatan berkelah, riadah dan bergurau senda antara ahli keluarga adalah antara kunci utama ke arah mewujudkan keluarga harmoni.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Bermainlah dengan anak kamu dalam usia tujuh tahun pertama, kemudian didiklah dan asuhlah anak kamu dengan tarbiah Islam dalam usia tujuh tahun yang kedua, selepas itu bersahabatlah dengan anak kamu dalam usia tujuh tahun yang ketiga dan akhirnya bebaskanlah anak kamu selepas daripada itu.”

Inilah rahsia dan hikmah tersurat serta tersirat mengapa Islam mengharuskan kegiatan riadah dan bergurau senda dengan ahli keluarga dengan harapan untuk merealisasikan cita-cita Islam ke arah masyarakat Islam cemerlang dalam pelbagai lapangan hidup.

Oleh itu, umat Islam digesa tidak terpengaruh dengan budaya Barat yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat, sebaliknya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang pasti akan menjamin kesejahteraan hidup dunia akhirat.

~WaRkaH Buat Kalian~